Uptown Homestay Kuala Nerang

MALAYSIAKU BERDAULAT : TANAH TUMPAHNYA DARAHKU


Hari ini ku bangun dari tidur dan terfikir sejenak bahawa aku adalah seorang rakyat Malaysia yang berada di bumi tempat tumpahnya darahku. Amat bersyukur sekali kepada Allah swt kerana aku adalah insan bertuah yang berada disebuah negara aman dan makmur. Sebagai seorang rakyat malaysia kita harus bersyukur dengan nikmat yang Allah swt berikan kepada kita kerana dilahirkan dibumi yang aman makmur yang mempunyai kemudahan pembangunan yang amat selesa untuk kita nikmati. Kita juga harus bersyukur kerana Allah swt telah menganugerahkan dan mengizinkan pemimpim-pemimpin terbaik bagi memerintah negara Malaysia yang kita cintai ini sehingga mencapai satu tahap yang amat membanggakan berbanding dengan negara merdeka lain. 

Tema sambutan Hari Kemerdekaan negara ke-56 yang bakal disambut pada 31 Ogos ini amat menarik sekali kerana sejak kebelakangan ini rakyat amat begitu resah gelisah dengan kemelut yang melanda negara akibat terhakisnya perasaan hormat menghormati antara sesama sendiri.

Malaysiaku Berdaulat : Tanah Tumpahnya Darahku kena pada masanya sebagai memberi peringatan dan iktibar bahawa tiada siapa yang akan mempertahankan maruah negara kecuali rakyat Malaysia sendiri. Jika diteliti tema tersebut ia membawa maksud untuk menyemai sifat perpaduan yang berpaksikan kepada ungkapan patriotik dan kesatuan negara bangsa. Malaysiaku Berdaulat juga membawa maksud bahawa Malaysia adalah sebuah Negara Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan. Negara kita Malaysia adalah sebuah Negara Islam yang mempunyai masyarakat yang berbilang kaum serta mempunyai Sistem Institusi Diraja Berperlembagaan. Setiap warganegara Malaysia semestinya menghormati undang-undang dan perlembagaan Negara yang kita cintai ini demi kesinambungan keamanan dan kesejahteraan untuk generasi mendatang.

Jika di imbas sambutan kemerdekaan tahun peristiwa di mana sambutan Hari Kemerdekaan dicemari oleh kerana perbezaan ideologi politik seperti yang telah menimpa pada tahun lepas. Terdapat segelintir kelompok masyarakat yang tidak mahu turut serta merayakan sambutan kemerdekaan kerana tidak sehaluan fahaman politik dan fenomena keengganan menyambut kemerdekaan kali ke-55 tahun lepas sudah mencapai tahap merunsingkan. Mempertikaikan logo, tema dan lagu kemerdekaan walaupun dianggap satu isu remeh dan agak lucu, tetapi hakikatnya adalah satu usaha untuk memperkecilkan dan seterusnya merosakkan sambutan kemerdekaan yang telah disusun pada ketika itu.

Mengambil pendekatan untuk tidak mahu turut serta dalam acara sambutan kemerdekaan akan hanya memberi modal politik yang cetek dalam jangka masa pendek. Tetapi apa yang lebih membimbangkan lagi adalah ia bakal memberi kesan kepada aspirasi negara Malaysia yang berdaulat dan merdeka.

Tanah Tumpahnya Darahku membawa maksud yang begitu dalam dan penuh bermakna. Sebab itu tema sambutan kali ini boleh dirangkumi kepada elemen-elemen perpaduan, patriotik, kedaulatan dan keselamatan negara yang amat begitu kritikal untuk dimiliki oleh setiap rakyat Malaysia.

Pada hari yang mulia ini ada baiknya rakyat Malaysia tidak kira anutan agama, bangsa atau fahaman ideologi politik menilai kembali tahap patriotisme dalam diri kita atau dengan lebih mudah di mana letaknya jati diri kita sebagai warganegara Malaysia.

Ketika kemuncaknya peristiwa pencerobohan pengganas di Lahad Datu, Sabah baru-baru ini, majoriti rakyat telah mempamerkan semangat patriotik dan jati diri yang agak tinggi dengan memberi sokongan padu kepada anggota polis dan tentera yang dikatakan bersabung nyawa berhadapan dengan pengganas. Jika sebelum ini mungkin ada segelintir yang sangsi dengan kekentalan jiwa rakyat Malaysia apabila berhadapan dengan isu yang berkait rapat dengan kemerdekaan dan kedaulatan negara, sudah pasti akan membuat tafsiran bahawa jika berdepan dengan ancaman, rakyat Malaysia akan bersatu teguh di belakang pemerintah.

Tidak dapat dihindari bahawa terdapat rakyat Malaysia yang merasa begitu selesa dengan keadaan aman pada masa sekarang sehingga langsung alpa dengan patriotisme mereka. Mungkin ada yang merasakan apa perlu menunjukkan semangat patriotik pada Bulan Kemerdekaan kerana negara bukannya berada di rantau yang penuh dengan ancaman. Lagi pun, ada yang berpendapat Hari Kemerdekaan sudah menjadi perkara lazim kerana disambut pada setiap tahun.

Malaysia negara yang kucintai

Selamat Menyambut Ulangtahun Kemerdekaan Malaysia ke 56

MERDEKA!  MERDEKA!  MERDEKA!

Menteri Besar Kedah : Datuk Mukhriz Mahathir


Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Hitam, Datuk Mukhriz Mahathir secara rasmi mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah yang baru di Istana Anak Bukit pada 6 Mei 2013 lalu. Mukhriz, 49, yang merupakan Menteri Besar Kedah ke-10 selepas merdeka, melafazkan sumpah memegang jawatan itu di hadapan anggota Jemaah Pemangku Sultan Kedah yang dipengerusikan Tan Sri Tunku Annuar Sultan Badlishah.


Pemilihan Mukhriz sebagai Menteri Besar Kedah yang ke-10 itu dibuat selepas Barisan Nasional (BN) berjaya membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) yang berlangsung Ahad. BN menang dengan majoriti mudah selepas memenangi 21 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Sementara itu PAS yang sebelum ini mentadbir kerajaan negeri selepas PRU 2008 hanya berjaya memenangi sembilan kerusi manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP masing-masing memperoleh empat dan dua kerusi. Bagi kerusi Parlimen, BN menang di 10 daripada 15 kerusi sementara PAS mendapat satu kerusi dan PKR mendapat empat kerusi. Pada PRU 2008, Mukhriz menang buat kali pertama di kerusi Parlimen Jerlun dan diangkat sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dalam Kabinet Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada April 2009.

Pada PRU13, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hitam, Datuk Mukhriz  Mahathir (BN) meraih 13,165 undi menewaskan Abdul Ghani Ahmad (PAS) 11,024 dengan majoriti 2,141 undi.


"Alhamdulillah majlis pelantikan Menteri Besar Kedah berjalan lancar. Watikah pelantikan telah diserahkan kepada Anggota Jemaah Pemangku Sultan Kedah dan mendapat perkenan Tunku Bendahara (Tunku Annuar). "Saya bersedia untuk menggalas cabaran sebaik mungkin," katanya

Saya sebagai rakyat kedah saya amat berbangga di atas perlantikan Datuk Mukhris sebagai Menteri Besar Kedah yang baru. Perlantikan ini adalah satu penghargaan & kepercayaan kerajaan Barisan Nasional terhadap generasi muda. Dikesempatan ini saya mengucapkan tahniah buat Datuk Mukriz Mahathir di atas perlantikan sebagai Menteri Besar Kedah. Harapan kami rakyat Kedah semoga Datuk Mukriz dapat menunaikan tanggungjawab dan amanah rakyat sebaik mungkin bagi menggalas harapan dan cabaran mendatang seterusnya membawa Negeri Kedah ke satu tahap yang lebih baik. InsyaAllah.


BIODATA RINGKAS


Dato' Paduka Mukhriz bin Mahathir (dilahirkan pada November 1964) ialah anak kelima bekas Perdana Menteri Malaysia yang keempat, Tun Dr. Mahathir bin Mohamad dan Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali. Beliau telah pun berkahwin dengan Datin Norjita Zakaria dan dikurniakan empat orang cahaya mata. Antara 2009 dan 2013, beliau juga pernah menjawat jawatan sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia. Selepas Barisan Nasional menguasai Kedah pada pilihan raya umum Malaysia 2013, beliau dilantik menjadi Menteri Besar Kedah ke-11.

Beliau secara berterusan bercakap bagi pihak bapanya mengenai isu perbalahan antara bapanya dan Abdullah Ahmad Badawi. Pada 2006, beliau telah menang majoriti lima undi di dalam pemilihan UMNO Bahagian Kubang Pasu. Beliau mempertahankan bapanya yang telah kalah di dalam pemilihan tersebut dengan mengatakan bahawa terdapat konspirasi yang mahu menjatuhkan bapanya. Beliau mengalami perselisihan faham dengan UMNO selepas beliau memberi komen terhadap ucapan Perdana Menteri bahawa beliau berasa sedikit hampa terhadap Perdana Menteri kerana tidak menawarkan apa-apa perubahan. Walau bagaimanapun, beliau telah memohon maaf di atas ketelanjurannya.

Namun begitu, dalam Pilihan Raya Umum Malaysia 2008, beliau bertanding untuk kerusi Parlimen Jerlun (P005). Sebelum ini, beliau telah menawarkan diri untuk bertanding kerusi Parlimen Langkawi, tetapi keinginannya telah dibantah oleh 85 daripada 91 cawangan Umno di Langkawi. Tetapi kemudian, banyak pemimpin di Langkawi menyokongnya. Berbeza pula dengan UMNO bahagian Jerlun yang mengalu-alukan beliau untuk bertanding kerusi Parlimen dan mereka berjanji untuk memberi sokongan penuh dalam pilihan raya nanti.




Tunaikan Tanggungjawab Sebagai Pengundi

Tunaikan tanggungjawab sebagai pengundi besar maknanya di sebalik perkataan tunai tanggungjawab ini. Banyak perkara boleh dikaitkan dengan perkataan ini. Namun di sini saya ingin melemparkan sedikit pandangan mengenai tunaikan tanggungjawab anda sebagai rakyat.


5 Mei 2013 adalah tarikh Pilihan Raya Umum ke-13 di mana rakyat perlu mengundi dalam menentukan barisan kerajaan yang akan mewakili rakyat dan seterusnya memegang mandat dalam pentadbiran negara. Walaupun 1 undi dari setiap individu, undi kita tetap bermakna kerana undi kita boleh menentukan kemenangan dan kekalahan seseorang calon seterusnya menentukan parti yang bakal mentadbir Negara Malaysia yang kita cintai ini. Memandangkan undi dari setiap rakyat amat penting kerana undi itu menentukan barisan mana pilihan rakyat untuk mentadbir negara Malaysia, maka pemilihan wakil rakyat amat penting. Sekali tersilap merana selama 4-5 tahun untuk menunggu pilihanraya akan datang. Oleh itu sebagai rakyat, kita perlu bijak mentafsir semua manifesto dan janji-janji calon/parti pilihanraya agar memilih calon/parti yang benar-benar menunaikan janji kepada pengundinya dan bukan hanya janji-janji kosong sahaja.  Calon yang bakal kita pilih juga haruslah seorang yang mampu membawa satu perubahan dan kemajuan untuk kawasan kita supaya dapat dinikmati oleh seluruh rakyat.

Adalah amat penting sebagai rakyat untuk memberikan sokongan kepada mana-mana pilihan parti yang menjadi undi di dalam pilihanraya. Namun masih ada segelintir rakyat bersikap acuh tidak acuh dengan pilihanraya dan ada juga yang berpendapat yang buat apa nak kisahkan dengan pilihanraya kerana bukan untungkan diri mereka tetapi hanya menguntungkan wakil rakyat itu. Ada juga berpendapat kalau tidak pergi mengundi hanya 1 undi sahaja yang kurang. Dan ada juga yang malas dan tidak kisah mengenai pilihanraya sehingga tidak turun mengundi serta masih ada yang layak mengundi tidak mendaftarkan diri di SPR. 
Bagi rakyat Malaysia sedarlah kerana ini tanggungjawab anda dalam menentukan pemimpin kita di Malaysia. Tindakan anda hanya mementingkan diri sendiri akan memberikan impak kepada keputusan pilhanraya. INGAT.. tanggungjawab sebagai rakyat yang menentukan proses pemilihan kerajaan di sesebuah negara demokrasi. Tanpa sokongan rakyat, tiada parti ataupun mana-mana individu akan dapat mandat sebagai kerajaan dan juga wakil rakyat.

Semoga pilihanraya Umum pada 5 Mei 2013 ini berjalan dengan lancar, aman dan makmur.
UNDI ADALAH RAHSIA... JALANKAN TANGGUNGJAWAB ANDA SEBAGAI PENGUNDI..

Tun Dr. Mahathir bin Mohamad di Kuala Nerang


Khamis 25 Mei 2013 Masyarakat Padang Terap amat bertuah kerana Seorang Negarawan Ulung iaitu Yang Berbahagia Tun Dr Mahathir bin Mohamad telah hadir ke Pekan Kuala Nerang. Beliau hadir dan berucap di Majlis Bersama Negarawan Ulung anjuran Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Padang Terap di Dataran Putra Kuala Nerang.

Sedang bersalam sambil memberi hadiah buat Tun Dr Mahathir

Selepas selesai majlis, sempat juga saya bersalaman dengan Idola kesayangan dan sempat menghadiahkan sesuatu buat Tun Dr. Mahathir iaitu sehelai Baju Tshirt  "I Love Kuala Nerang"  berwarna hitam bersaiz L. 

Tun Dr Mahathir sedang melihat hadiah yang dihadiahkan oleh rakyat biasa buat pemimpin tersayang

Tun Dr Mahathir tersenyum sambil mengucapkan terima kasih

Hadiah yang tak seberapa tersebut adalah hadiah dari seorang rakyat biasa buat seorang Negarawan Ulung yang terkenal di mata dunia. Terasa amat puas sekali meskipun hadiah Tshirt yang tak seberapa Tun Dr. Mahathir sudi menerimanya. Agak kecewa jua kerana saya tidak sempat meminta tandatangan beliau pada buku "Doktor Umnum : Memoir Tun Dr. Mahathir Mohamad". InsyaAllah semoga Tun Dr. M panjang umur dan berjumpa lagi.


Masih teringat lagi ketika berkhidmat di Kuala Lumpur sekitar hujung 90an, di mana sering kali juga bersalaman dengan Tun Dr M ketika selepas Solat Jumaat di Masjid Negara. Tun Dr. Mahathir ketika itu adalah Perdana Menteri Malaysia yang sering solat di ruang luar bersebelahan kolam di Masjid Negara dan setiap kali selepas Tun Dr M solat jumaat, pastinya saya tidak melepaskan peluang untuk bersalaman dengan beliau. Selepas selesai Solat Jumaat Tun Dr. Mahathir terus menyusur keluar dengan sebuah kereta perdana hitam bernombor pendaftaran 2020 (hanya ingat 2020 sahaja, yang depan tak ingat)


Tun Dr. Mahathir adalah Perdana Menteri Malaysia yang dikenali sebagai Bapa Pembangunan yang telah banyak menyumbang jasa buat seluruh rakyat Malaysia khususnya. Terima kasih buat Tun Dr. Mahathir di atas segala jasa dan sumbangan beliau sepanjang beliau berkhidmat sebagai pemimpin negara kita. Terima kasih sekali lagi buat Tun Dr. Mahathir kerana sudi hadir ke Pekan Kuala Nerang. Saya dan warga Padang Terap merasa bertuah di atas kehadiran Tun Dr M.