Uptown Homestay Kuala Nerang

MALAYSIA... Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta


Sambutan Hari Kemerdekaan ke-57 pada tahun ini menampilkan satu keunikan apabila salah satu baris lirik lagu Warisan, 'Malaysia.... Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta' yang dipopularkan oleh Allahyarham Sudirman Haji Arshad dipilih menjadi tema sambutan Hari Kemerdekaan Ke-57. Logo Hari Kemerdekaan untuk tahun ini dipilih daripada 1,586 hasil ciptaan peserta Pertandingan Mereka Cipta Logo Hari Kemerdekaan ke-57.

Semoga pemilihan tema 'Malaysia... Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta' ini dapat menyemai serta menyemarakkan rasa cinta yang suci murni abadi kepada negara dalam diri setiap rakyat Malaysia. Ia juga diharap dapat memberikan kesan mendalam dan melahirkan semangat kecintaan terhadap negara di dalam hati setiap rakyat Malaysia. Secara tidak langsung dapat mewujudkan masyarakat yang cintakan negara dan sanggup berkorban demi menjamin keamanan, kemajuan, kesejahteraan dan kemakmuran negara yang kita kecapi selama ini akan berterusan pada jangka masa panjang.

RASIONAL LOGO

Jalur Gemilang yang sedang berkibar megah menjadi inspirasi kepada logo ini. Ia merupakan satu perlambangan kepada negara Malaysia yang merdeka dan berdaulat.

Angka 57 membawa maksud ulangtahun ke-57 kemerdekaan Malaysia. Sekaligus menjadi lambang kematangan negara dibawah kepimpinan yang mantap, berinovasi serta berwawasan yang boleh disaksikan menerusi pembangunan, kecermerlangan dan kemakmuran yang dikecapi secara berterusan.

Angka 57 yang diberikan sentuhan retro, menjadi refleksi kepada tarikh keramat kemerdekaan negara pada tahun 1957, mencerminkan impian dan harapan serta semangat cintakan negara yang tidak berbelah bagi rakyat terdahulu, semoga menjadi pedoman dan panduan kepada generasi Malaysia hari ini terutama golongan muda.

Kibaran Jalur Gemilang menyelimuti angka 57 turut mencerminkan kemakmuran dan keamanan negara yang telah wujud sejak mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, berupaya dikekalkan sehingga ke saat ini dengan sokongan dan dukungan kuat oleh rakyat berbilang etnik dan kepercayaan yang bergabung menjadi satu masyarakat Malaysia yang unik dan bertoleransi.

Bulan sabit dan bintang berbucu 14 melambangkan kedaulatan negara, menjadi kewajipan setiap pemimpin dan rakyat untuk terus memelihara dan mengekalkannya.

Tema 'Malaysia.... Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta' diletakkan pada sudut bersesuaian dengan rekabentuk logo bagi menyokong kekuatannya dari segi imbangan, maksud dan nilai estetika.

MAKSUD WARNA LOGO

Warna Merah - Lambang keberanian dan kesetiaan pada negara yang tercinta.

Warna Biru - Lambang penyatuan dan keharmonian antara kaum.

Warna kuning - Lambang kedaulatan negara dibawah naungan Raja Berpelembagaan dan diterajui kepimpinan yang prihatin dengan pencapaian negara serta keperluan rakyat.

Warna putih - Menjadi perlambangan kepada kejujuran, ketelusan dan komitmen serta kerjasama yang erat di antara pemimpin dan rakyat.


Lirik: Malaysia.... Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta

Cinta
Cinta kepada nusa
Kini dan selamanya
Tak berbelah bagi

Cinta bergema
Sejarah kebangkitan
Semangat bagai pahlawan
Alangkah oh bertuahnya

Kita
Punya rasa yang dalam
Pada pertiwi ini
Kita terus berganding ke mercu

Chorus
Di sini lahirnya sebuah cinta
Cinta yang semarakkan
Penyatuan kita semua
Di sini lahirnya sebuah cinta
Curahkan sepenuhnya
Jasa dan budi kita

Segala cabaran
Kita terus tempuhi
Jangan ada yang leka
Tetap berjuang

Di sini lahirnya sebuah cinta
Cinta yang semarakkan
Penyatuan kita semua
Di sini lahirnya sebuah cinta
Curahkan sepenuhnya
Jasa dan budi kita

Ayuhlah berbakti
Hingga akhirnya

Selamat Menyambut Ulangtahun Kemerdekaan Malaysia kali Ke 57.
Malaysia... Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta

0 comments: