Uptown Homestay Kuala Nerang

Menteri Besar Kedah : Datuk Mukhriz Mahathir


Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Hitam, Datuk Mukhriz Mahathir secara rasmi mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah yang baru di Istana Anak Bukit pada 6 Mei 2013 lalu. Mukhriz, 49, yang merupakan Menteri Besar Kedah ke-10 selepas merdeka, melafazkan sumpah memegang jawatan itu di hadapan anggota Jemaah Pemangku Sultan Kedah yang dipengerusikan Tan Sri Tunku Annuar Sultan Badlishah.


Pemilihan Mukhriz sebagai Menteri Besar Kedah yang ke-10 itu dibuat selepas Barisan Nasional (BN) berjaya membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) yang berlangsung Ahad. BN menang dengan majoriti mudah selepas memenangi 21 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Sementara itu PAS yang sebelum ini mentadbir kerajaan negeri selepas PRU 2008 hanya berjaya memenangi sembilan kerusi manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP masing-masing memperoleh empat dan dua kerusi. Bagi kerusi Parlimen, BN menang di 10 daripada 15 kerusi sementara PAS mendapat satu kerusi dan PKR mendapat empat kerusi. Pada PRU 2008, Mukhriz menang buat kali pertama di kerusi Parlimen Jerlun dan diangkat sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dalam Kabinet Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada April 2009.

Pada PRU13, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hitam, Datuk Mukhriz  Mahathir (BN) meraih 13,165 undi menewaskan Abdul Ghani Ahmad (PAS) 11,024 dengan majoriti 2,141 undi.


"Alhamdulillah majlis pelantikan Menteri Besar Kedah berjalan lancar. Watikah pelantikan telah diserahkan kepada Anggota Jemaah Pemangku Sultan Kedah dan mendapat perkenan Tunku Bendahara (Tunku Annuar). "Saya bersedia untuk menggalas cabaran sebaik mungkin," katanya

Saya sebagai rakyat kedah saya amat berbangga di atas perlantikan Datuk Mukhris sebagai Menteri Besar Kedah yang baru. Perlantikan ini adalah satu penghargaan & kepercayaan kerajaan Barisan Nasional terhadap generasi muda. Dikesempatan ini saya mengucapkan tahniah buat Datuk Mukriz Mahathir di atas perlantikan sebagai Menteri Besar Kedah. Harapan kami rakyat Kedah semoga Datuk Mukriz dapat menunaikan tanggungjawab dan amanah rakyat sebaik mungkin bagi menggalas harapan dan cabaran mendatang seterusnya membawa Negeri Kedah ke satu tahap yang lebih baik. InsyaAllah.


BIODATA RINGKAS


Dato' Paduka Mukhriz bin Mahathir (dilahirkan pada November 1964) ialah anak kelima bekas Perdana Menteri Malaysia yang keempat, Tun Dr. Mahathir bin Mohamad dan Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali. Beliau telah pun berkahwin dengan Datin Norjita Zakaria dan dikurniakan empat orang cahaya mata. Antara 2009 dan 2013, beliau juga pernah menjawat jawatan sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia. Selepas Barisan Nasional menguasai Kedah pada pilihan raya umum Malaysia 2013, beliau dilantik menjadi Menteri Besar Kedah ke-11.

Beliau secara berterusan bercakap bagi pihak bapanya mengenai isu perbalahan antara bapanya dan Abdullah Ahmad Badawi. Pada 2006, beliau telah menang majoriti lima undi di dalam pemilihan UMNO Bahagian Kubang Pasu. Beliau mempertahankan bapanya yang telah kalah di dalam pemilihan tersebut dengan mengatakan bahawa terdapat konspirasi yang mahu menjatuhkan bapanya. Beliau mengalami perselisihan faham dengan UMNO selepas beliau memberi komen terhadap ucapan Perdana Menteri bahawa beliau berasa sedikit hampa terhadap Perdana Menteri kerana tidak menawarkan apa-apa perubahan. Walau bagaimanapun, beliau telah memohon maaf di atas ketelanjurannya.

Namun begitu, dalam Pilihan Raya Umum Malaysia 2008, beliau bertanding untuk kerusi Parlimen Jerlun (P005). Sebelum ini, beliau telah menawarkan diri untuk bertanding kerusi Parlimen Langkawi, tetapi keinginannya telah dibantah oleh 85 daripada 91 cawangan Umno di Langkawi. Tetapi kemudian, banyak pemimpin di Langkawi menyokongnya. Berbeza pula dengan UMNO bahagian Jerlun yang mengalu-alukan beliau untuk bertanding kerusi Parlimen dan mereka berjanji untuk memberi sokongan penuh dalam pilihan raya nanti.




Tunaikan Tanggungjawab Sebagai Pengundi

Tunaikan tanggungjawab sebagai pengundi besar maknanya di sebalik perkataan tunai tanggungjawab ini. Banyak perkara boleh dikaitkan dengan perkataan ini. Namun di sini saya ingin melemparkan sedikit pandangan mengenai tunaikan tanggungjawab anda sebagai rakyat.


5 Mei 2013 adalah tarikh Pilihan Raya Umum ke-13 di mana rakyat perlu mengundi dalam menentukan barisan kerajaan yang akan mewakili rakyat dan seterusnya memegang mandat dalam pentadbiran negara. Walaupun 1 undi dari setiap individu, undi kita tetap bermakna kerana undi kita boleh menentukan kemenangan dan kekalahan seseorang calon seterusnya menentukan parti yang bakal mentadbir Negara Malaysia yang kita cintai ini. Memandangkan undi dari setiap rakyat amat penting kerana undi itu menentukan barisan mana pilihan rakyat untuk mentadbir negara Malaysia, maka pemilihan wakil rakyat amat penting. Sekali tersilap merana selama 4-5 tahun untuk menunggu pilihanraya akan datang. Oleh itu sebagai rakyat, kita perlu bijak mentafsir semua manifesto dan janji-janji calon/parti pilihanraya agar memilih calon/parti yang benar-benar menunaikan janji kepada pengundinya dan bukan hanya janji-janji kosong sahaja.  Calon yang bakal kita pilih juga haruslah seorang yang mampu membawa satu perubahan dan kemajuan untuk kawasan kita supaya dapat dinikmati oleh seluruh rakyat.

Adalah amat penting sebagai rakyat untuk memberikan sokongan kepada mana-mana pilihan parti yang menjadi undi di dalam pilihanraya. Namun masih ada segelintir rakyat bersikap acuh tidak acuh dengan pilihanraya dan ada juga yang berpendapat yang buat apa nak kisahkan dengan pilihanraya kerana bukan untungkan diri mereka tetapi hanya menguntungkan wakil rakyat itu. Ada juga berpendapat kalau tidak pergi mengundi hanya 1 undi sahaja yang kurang. Dan ada juga yang malas dan tidak kisah mengenai pilihanraya sehingga tidak turun mengundi serta masih ada yang layak mengundi tidak mendaftarkan diri di SPR. 
Bagi rakyat Malaysia sedarlah kerana ini tanggungjawab anda dalam menentukan pemimpin kita di Malaysia. Tindakan anda hanya mementingkan diri sendiri akan memberikan impak kepada keputusan pilhanraya. INGAT.. tanggungjawab sebagai rakyat yang menentukan proses pemilihan kerajaan di sesebuah negara demokrasi. Tanpa sokongan rakyat, tiada parti ataupun mana-mana individu akan dapat mandat sebagai kerajaan dan juga wakil rakyat.

Semoga pilihanraya Umum pada 5 Mei 2013 ini berjalan dengan lancar, aman dan makmur.
UNDI ADALAH RAHSIA... JALANKAN TANGGUNGJAWAB ANDA SEBAGAI PENGUNDI..