Uptown Homestay Kuala Nerang

Masjid Zahir مسجد ظاهير


Masjid Zahir atau juga dikenali sebagai Masjid Zahrah merupakan Masjid Negeri Kedah. Bangunan bersejarah ini terletak di tengah-tengah bandar raya Alor Setar. Ia juga dikenali sebagai Masjid Raja kerana ia merupakan masjid Diraja dan terletak di perkarangan Istana Pelamin. Masjid ini dibina pada tahun 1912 atas usaha YTM Tunku Mahmud Ibni Almarhum Sultan Tajuddin Mukarram Shah. Tapak masjid ini sebelum pembinaannya adalah tanah pusara wira-wira Kedah yang gugur semasa mempertahankan Kedah dari serangan Siam (1821). Rekabentuk masjid ini diilhamkan dari Masjid AZIZI di Bandar Langkat, Sumatera Utara. Masjid ini dihiasi dengan lima kubah utama sebagai simbol lima Rukun Islam.

Upacara perasmiannya dilakukan pada hari Jumaat, 15 Oktober 1915 oleh Almarhum Sultan Abdul Hamid Shah. Tunku Mahmud telah membaca khutbah Jumaat sementara baginda Sultan Abdul Hamid Shah mengimamkan solat Jumaat.

Masjid Zahir mempunyai keluasan tapak kira-kira 124,412 kaki persegi. Dewan tengahnya (Dewan Sembahyang) berukuran 62 x 62 kaki persegi dan dikelilingi oleh beranda berukuran 8 kaki lebar dengan 4 anjung yang setiap satunya terdapat sebuah kubah. Menara utamanya terletak di bahagian timur laut. Pembinaan masjid ini mengambil masa selama 3 tahun.

Di belakang Masjid Zahir, terdapat Kompleks Bangunan Mahkamah Syariah dan Pusat Pendidikan Asas Kanak-Kanak.Bangunan ini juga terletak berhadapan dengan Balai Nobat dan Istana Pelamin. Masjid ini merupakan antara mercu tanda seni bina negeri Kedah dan antara masjid tercantik di Malaysia.

0 comments: