Video Kejayaan merangkul Tempat Ketiga Mahkota Championship Peringkat Kebangsaan 2018.

Skuad Bola Sepak B11 SKPT mendapat tempat Ketiga Mahkota Football Championship Peringkat Kebangsaan 2018.

Skuad B11 SK Padang Terap mendapat tempat Ketiga MAHKOTA FOOTBALL CHAMPIONSHIP Sekolah-sekolah Kluster Peringkat Kebangsaan 2018 yang diadakan di SK Mahkota Sari, Gerik, Perak. Pencapaian Tempat Ketiga Peringkat Kebangsaan ini adalah pencapaian yang cukup cemerlang dalam sejarah sepanjang berkecimpung dalam sukan bola sepak di sekolah rendah. 

Kejohanan berlangsung pada 7 - 9 Oktober 2018 ini disertai oleh 15 buah sekolah dari Seluruh Malaysia. Antara sekolah-sekolah yang bertanding ialah :-
1. SK Mahkota Sari (Perak)
2. SK Jalan Pegoh (Perak)
3. SK Slim River (Perak)
4. SK Seri Kinta (Perak)
5. SK Taman Uda (Kedah)
6. SK Padang Terap (Kedah)
7. SK Bandar Puteri Jaya (Kedah)
8. SK Sena (Perlis)
9. SK Paya (Perlis)
10. SK Seri Tunjong (Perlis)
11. SK Sungai Dua (P. Pinang)
12. SK Bukit Rahman Putera (Selangor)
13. SK Seri Selangor (Selangor)
14. SK Sabak Uni (Johor)
15. SK Sultan Ismail 1 (Kelantan)

SK Padang Terap berjaya mengungguli kumpulan dengan 2 kemenangan dan 1 seri diperingkat kumpulan. Dengan mengumpul 7 mata SKPT layak ke peringkat suku akhir menentang SK Bukit Rahman Putera (Selangor) dan berjaya menundukkan SK Bukut Rahman Putera dengan jaringan 1-0.
Di peringkat Separuh akhir SKPT bertemu SK Bandar Puteri Jaya (kedah). SKPT ketinggalan 1-0 pada babak pertama dan cuba bangkit pada babak kedua dengan memberi tekanan dan asakan kepada pasukan SKBPJ namun gagal mendapatkan gol yang dicari-cari. Penentuan tempat ketiga SKPT menang dengan dengan SK Sabak Uni, Johor (3-0 menang percuma).

Keputusan semua perlawanan SKPT :

Peringkat Kumpulan :
SKPT 4 - 2 SK Seri Selangor (Selangor)
SKPT 2 - 1 SK Jalan Pegoh (Perak)
SKPT 1 - 1 SK Mahkota Sari (Perak)
Johan Group A : Mengumpul 7 Mata

Suku Akhir :
SKPT 1 - 0 SK Bukit Rahman Putra (Selangor)

Separuh Akhir :
SKPT 0 - 1 SK Bandar Puteri Jaya (Kedah)

Penentuan 3/4 :
SKPT 3 - 0 SK Sabak Uni (Johor)
(Menang percuma)
Tahniah buat semua pemain Skuad B11 SK Padang Terap dan terima kasih buat semua jurulatih yang sentiasa mencurahkan ilmu kepada para pemain. Terima kasih juga buat Paksu Norman, Presiden KN Kiara Football Club atas sokongan dan sumbangan kepada Skuad B11 SKPT.
Dan terima kasih buat semua guru-guru dan PIBG serta para waris yang sentiasa menyokong dan mendoakan kejayaan skud B11 SKPT.
Pencapai tempat KETIGA peringkat kebangsaan ini adalah antara pencapaian terbaik sepanjang penubuhan Akademi Bola Sepak SKPT.

Akademi Bola Sepak SKPT

Kuliah Maghrib bersama Ustaz Azhar Idrus di Masjid Muadzam Shah Kuala Nerang

Kuliah Maghrib bersama Ustaz Azhar Idrus di Masjid Muadzam Shah Kuala Nerang pada 7 SEPTEMBER 2018 (JUMAAT) pada Jam 8.00 Malam, bertempat di MASJID MUADZAM SHAH KUALA NERANG.

Semua muslimin dan muslimat dijemput hadir, sila bawa sejadah sendiri

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia Ke-61 Tahun 2018

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia Ke-61 Tahun 2018

Merdeka! Merdeka! Merdeka!

#SayangiMalaysiaku

Apa Itu Pembelajaran Abad Ke 21 (PAK21)

Malaysia merupakan sebuah negara yang berkembang pesat seiring dengan ledakan globalisasi pada masa kini. Dalam menuju ke arah pendidikan bertaraf dunia, Malaysia perlu membawa suatu perubahan yang akan memberi kesan kepada dunia pendidikan. Oleh itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah meneliti perkara-perkara yang perlu dilaksanakan dan berusaha untuk menjayakan usaha tersebut. Bersesuaian dengan matlamat dan zaman, KPM telah melaksanakan pembelajaran abad ke-21 (PAK21) bermula pada tahun 2014.

Kini, PAK21 telah menjadi satu isu yang hangat dalam dunia pendidikan kerana ia dilihat mampu memenuhi keperluan pendidikan pada masa kini, di samping membawa perubahan baru dalam dunia pendidikan. PAK21 dikatakan sebagai proses pembelajaran yang berpusatkan kepada murid. Terdapat beberapa elemen yang diterapkan, iaitu komunikasi, kolaboratif, pemikiran kritis, kreativiti serta aplikasi nilai murni dan etika. Elemen-elemen ini juga disebut sebagai standard asas dalam PAK21. Adakah elemen-elemen ini memberi kesan positif kepada murid-murid?

Komunikasi

Secara umumnya, komunikasi merupakan suatu proses pertukaran maklumat daripada individu kepada individu yang lain. Dalam konteks pendidikan, komunikasi merujuk kepada perbualan yang berlaku di antara guru dan murid atau murid dan murid untuk berkongsi ilmu yang difahami bersama rakan-rakan lain. Ini yang dikatakan sebagai komunikasi berpusatkan murid. Namun begitu, jika guru tidak memainkan peranannya dengan baik, komunikasi yang berkesan tidak akan terhasil semasa proses pembelajaran berlangsung.

Sebagai contoh, guru ingin mewujudkan komunikasi dua hala dalam kalangan murid-muridnya melalui pembentangan mengenai tajuk yang diberi dan meminta murid-murid untuk berbincang di dalam kumpulan masing-masing sebelum memulakan pembentangan di hadapan kelas. Pada masa yang sama, guru juga perlu memainkan peranannya sebagai fasilitator kepada muridnya. Guru hendaklah memantau cara penyampaian murid-muridnya supaya pembentangan tersebut menjadi pembentangan yang berkesan serta dapat memberikan maklumat yang berkualiti kepada murid lain.

Bagi pembangunan diri murid itu sendiri, guru boleh memberi komen yang membina dari segi penggunaan bahasa badan, nada suara, tulisan, cara bertanya kepada rakan-rakan lain, cara menjawab soalan yang diaju, cara memberi maklum balas jika rakan bertanya soalan yang tidak dijangka dan sebagainya.

Oleh yang demikian, murid-murid dapat membina keyakinan diri semasa berinteraksi bersama rakan-rakan lain kerana mereka mampu mendengar dan memberi maklum balas, mampu untuk memberi penerangan yang jelas dan ringkas, memahami kaedah-kaedah untuk menyampaikan maklumat dan juga mereka akan berasa lebih terbuka jika diminta untuk mengulas sebarang topik.

Kolaboratif

Kolaboratif merujuk kepada sesuatu yang dilakukan secara bersama-sama atau berkumpulan. Kolaboratif dalam dunia pendidikan pula adalah kerjasama yang wujud antara guru dan murid atau murid dan murid secara aktif dan menyeluruh, di mana, ia melibatkan pertukaran idea, pendapat atau pengetahuan antara murid-murid. Bagi elemen ini, guru perlu memahami gaya pembelajaran muridnya.

Terdapat murid yang tidak suka membuat tugasan secara berkumpulan disebabkan beberapa faktor. Sesetengah murid tidak selesa membuat perbincangan bersama rakan-rakan kerana ideanya seringkali dipandang sepi oleh ahli kumpulannya, di samping hubungan antara ahli kumpulan yang tidak begitu mesra antara satu sama lain.

Oleh itu, guru perlu menarik perhatian mereka supaya tugasan berkumpulan kelihatan lebih seronok pada pandangan mereka. Ada sesetengah murid pula seronok jika diberi tugasan berkumpulan kerana mereka tidak perlu mengerah otak untuk memikirkan idea-idea yang bernas, sebaliknya dibiarkan rakan-rakan sahaja menyelesaikan tugasan yang diberi.

Dalam hal ini, guru bertanggungjawab untuk menyelesaikan masalah-masalah sebegini kerana jika elemen ini dapat dilaksanakan dengan berkesan, ia dapat membantu murid-murid dalam meningkatkan pencapaian mereka dari masa ke masa.

Sekiranya wujud suasana kelas yang kolaboratif, maka, ia akan membawa kepada metakognitif, iaitu kesedaran murid-murid tentang perkara yang diketahui dan tidak diketahui semasa proses pembelajarannya. Melalui kolaborasi, guru boleh menerapkan beberapa nilai positif dalam diri murid itu sendiri, seperti bertanggungjawab terhadap tugasan dalam kumpulan, penglibatan aktif atau seimbang, bersikap terbuka untuk menerima idea dan pandangan rakan-rakan lain serta mengeratkan hubungan silaturrahim dalam kalangan mereka. Jadi, guru adalah insan yang paling sesuai untuk melakukan sesuatu perkara dalam memancing emosi dan perhatian murid-muridnya.

Pemikiran Kritis

Ada sesetengah pihak seringkali keliru dengan istilah pemikiran kritis dan kreatif. Ia merupakan dua istilah yang berbeza. Secara amnya, pemikiran kritis merujuk kepada keupayaan individu untuk membuat penilaian mengenai sesuatu perkara, termasuk kebaikan dan kelemahannya. Dari sudut pendidikan, pemikiran kritis berlaku apabila murid-murid mula meneroka pemikiran mereka untuk menilai idea-idea yang diterima secara rasional dan membuat pertimbangan mengenai idea tersebut melalui penggunaan alasan-alasan yang wajar.

Pemikiran kritis boleh terhasil dengan berkesan melalui beberapa cara, seperti penggunaan sumber yang meluas. Sumber yang meluas merujuk kepada maklumat yang diperoleh oleh murid-murid. Oleh itu, guru perlu memantau sama ada maklumat yang dicari oleh murid bersesuaian dengan topik pembelajaran ataupun tidak. Guru juga perlu memastikan muridnya mahir untuk mencari maklumat yang berkaitan dan menilai sama ada maklumat yang diperoleh itu cukup atau tidak untuk melaksanakan tugasan yang diberi.

Kemudian, pemikiran kritis yang berkesan boleh terhasil sekiranya guru tidak mengehadkan idea dan pendapat murid-muridnya. Di dalam kelas abad ke-21, guru seharusnya menggalakkan murid untuk memberi pandangan tentang sesuatu topik yang sedang dibincang. Pandangan yang tidak tersasar daripada topik perbincangan harus diterima oleh guru supaya murid-murid berasa selesa dan seronok untuk mengutarakan idea-idea mereka.

Dari situ, guru boleh menilai tahap pemikiran muridnya terhadap sesuatu perkara. Adakah mereka melihat sesuatu perkara daripada sudut yang berbeza? Jika ya, ini bermakna murid tersebut telah berfikir secara kritis.

Seterusnya, guru juga boleh menerapkan elemen perbahasan semasa proses pengajaran dan pembelajaran (PDP) berlangsung. Bagi memulakan sesi PDP, guru perlu meminta murid untuk memberikan idea atau pandangan mengenai tajuk pembelajaran pada hari tersebut. Idea yang diberi tidak perlu dibincangkan, tetapi, guru perlu bertanya kepada murid mengapa idea tersebut yang diberi.

Guru juga perlu memberi galakan kepada murid-murid lain untuk membahas idea tersebut supaya mereka dapat menjana pelbagai pandangan dan pengetahuan.

Oleh yang demikian, elemen pemikiran kritis berjaya diterapkan dalam diri murid-murid melalui sesi PDP yang dilaksanakan oleh guru. Ia berlaku hanya dengan penerapan beberapa perkara penting, seperti memiliki maklumat yang sesuai berdasarkan tajuk, mempunyai sikap ingin tahu dan bersedia untuk meneroka sesuatu topik melalui pembacaan, soal jawab bersama guru dan rakan serta melaksanakan aktiviti hands-on bagi mendapatkan sesuatu maklumat, di samping mampu membuat sesuatu keputusan berdasarkan maklumat-maklumat yang diperoleh dan berupaya untuk mempertahankan keputusan tersebut dengan menggunakan bukti-bukti yang berasas.

Murid yang berfikiran kritis adalah murid yang berfikiran terbuka, di mana, mereka mudah untuk menerima pandangan atau idea yang dikemukakan oleh rakan-rakan lain serta tidak merendah-rendahkan idea yang diterima. Dengan ini, guru-guru perlu mengenali setiap muridnya supaya elemen ini lebih mudah diterapkan semasa PDP berlangsung.

Kreativiti

Kreativiti merujuk kepada sesuatu proses yang berlaku, di mana, ia melibatkan penghasilan sesuatu yang baru, berguna dan juga berkualiti. Elemen ini juga merupakan salah satu elemen yang penting untuk diterapkan dalam diri murid. Hal ini demikian kerana kreativiti bersifat meluas yang melibatkan sesuatu projek dan juga pemikiran murid itu sendiri. Mereka perlu berfikir di luar kotak untuk menghasilkan sesuatu ciptaan yang baru dan berguna.

Dalam kelas abad ke-21, guru boleh meminta muridnya untuk menghasilkan sesuatu produk yang unik, iaitu produk yang lain daripada produk sedia ada. Perkara ini amat bersesuaian dengan ciri-ciri kelas abad ke-21, iaitu pembelajaran berpusatkan murid. Walau bagaimanapun, murid-murid masih memerlukan bimbingan daripada seorang guru. Guru perlu menilai sama ada produk yang dihasilkan oleh murid adalah sebuah produk yang baru atau sedia ada, di samping meneliti keunikan dan keaslian produk itu sendiri. Komen-komen yang praktikal perlu diberi supaya murid dapat membuat penambahbaikan terhadap produk ciptaannya.

Selain itu, guru perlu meminta murid untuk memberi penerangan tentang produk yang dihasilkan. Dari situ, guru boleh menilai sama ada murid tesebut mampu memberi hujah-hujah yang kukuh atau tidak dalam mempertahankan keistimewaan produk ciptaannya. Di sini guru boleh menerapkan unsur pemikiran kritis dengan meminta murid-murid lain untuk turut memberi pandangan dan idea bagi tujuan penambahbaikan terhadap produk tersebut. Oleh yang demikian, setiap murid dapat menjana pelbagai idea daripada rakan-rakan mereka sendiri.

Guru hanya perlu membimbing muridnya untuk berfikir mengenai sesuatu perkara daripada pelbagai sudut. Dengan itu, hasil sesi PDP yang dilaksanakan oleh guru akan menghasilkan murid-murid yang berani mengambil risiko, seperti berani untuk mengemukakan idea tanpa merasa bimbang terhadap kritikan yang bakal diterima, di samping berupaya untuk berpandangan jauh tentang sesuatu perkara.

Nilai Murni dan Etika

Nilai murni boleh ditakrifkan sebagai tingkah laku yang baik, beradab dan menjaga tatasusila, manakala, etika pula merujuk kepada keperibadian atau perwatakan seseorang. Dalam dunia pendidikan, elemen ini amat penting untuk diterapkan dalam diri murid-murid supaya ia dapat membentuk jati diri yang tinggi. Guru merupakan insan yang paling rapat dengan murid ketika mereka berada di sekolah. Oleh itu, guru seharusnya berusaha untuk menerapkan nilai-nilai yang positif dalam diri murid-murid semasa sesi PDP berlangsung.

Ketika sesi PDP, guru boleh meminta murid untuk menyatakan nilai murni yang bersesuaian dengan topik pembelajaran pada hari tersebut. Kemudian, guru perlu menilai sama ada murid tersebut memahami nilai murni yang dinyatakan ataupun tidak. Jika mereka memahami nilai murni tersebut, guru perlu melihat pula dari segi kelakuannya. Adakah mereka tahu cara-cara untuk menerapkan nilai-nilai murni itu dalam tingkah laku mereka? Di sini, guru memainkan peranan yang amat penting dalam mendidik murid-murid untuk sentiasa berkelakuan sopan.

Terdapat sesetengah murid yang suka untuk merendah-rendahkan rakan-rakan yang mengamalkan nilai-nilai murni. Namun begitu, jika guru berupaya untuk mengubah persepsi mereka terhadap nilai murni, maka, terhasillah seorang murid yang beretika dan berkelakuan baik. Guru perlu meminta mereka untuk memberi pandangan tentang nilai-nilai murni dan etika yang harus diterapkan dalam diri mereka, dari segi kesan amalan nilai tersebut terhadap diri, masyarakat, agama dan juga negara.

Guru juga boleh memberi penghargaan kepada murid yang sentiasa mengamalkan nilai-nilai yang dipelajari semasa sesi PDP. Perkara ini boleh menjadi satu galakan kepada murid-murid lain untuk bersama-sama mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian mereka. Oleh itu, guru perlu kreatif dan kritis dalam mendidik murid-murid untuk menjadikan mereka seorang insan yang berguna dan berkualiti setelah tamat alam persekolahan kelak.

Kelas abad ke-21 ini amat sesuai dilaksanakan kerana ia banyak memberi impak-impak yang positif dalam diri murid. Dengan wujudnya kelas abad ke-21 ini, murid-murid akan dilatih untuk memiliki kemahiran yang boleh digunakan pada masa akan datang, seperti kemahiran komunikasi yang baik, mampu berkolaborasi dan menyelesaikan masalah berdasarkan realiti kehidupan. Selain itu, murid juga bersedia untuk menghadapi peperiksaan, di mana peperiksaan kini diterapkan dengan unsur-unsur kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT).

Ia tidak menjadi masalah bagi murid itu sendiri kerana pemikiran mereka sentiasa dicabar semasa sesi PDP di dalam kelas. Kelas abad ke-21 juga membantu murid untuk bersedia ke alam pekerjaan. Majikan kini amat mementingkan beberapa aspek, seperti kemahiran komunikasi, mampu menyelesaikan masalah serta berfikiran kritis dan kreatif bagi membolehkan individu yang ditemuduga diterima bekerja di syarikat mereka. Impak-impak ini dilihat dapat memberi kesan positif terhadap diri murid itu sendiri, sekolah dan juga negara, seiring dengan hasrat untuk menjadikan pendidikan di Malaysia sebagai pendidikan yang bertaraf dunia.

https://www.pendidik2u.my



Resepi Abah : Sup Ikan Siakap

BAHAN-BAHAN :-
Ikan Siakap 2 ekor (1.4 kg)
Tomato 2 biji
Cili api 5 @ 7 biji
Air Limau (2 penutup)
Daun Sup
Daun Ketumbar
Kiub ayam knor 1 biji

Bahan Tumbuk :-
Bawang besar 1 biji
Bawang putih ulas
Halia (dlm 1 inci)


CARA MEMASAK :
-Panaskan sedikit minyak
-Tumiskan bahan tumbuk hingga naik bau.
-masukkan air mengikut kesesuaian (Nak cepat masak saya selalu guna air panas coway)
-masukkan kuib ayam knor
-masukan air limau
-masukkan cili api
-masukkan garam & serbuk perasa.
-masukkan ikan siakap
-tunggu hingga ikan masak dan masukan tomato
- Akhir sekali masukan daun ketumbar & daun sup, terus tutup api dapur.... dan siap untuk di makan

Selamat Hari Raya Aidilfitri

 
Selamat Hari Raya Aidilfitri
buat semua muslimin dan muslimat semua

MASAK LEMAK IKAN KELI SALAI

Bulan puasa ni teringin nak makan macam...jadi bulan ni pun banyak la pulak post tajuk makanan. Hari ni rasa macam lapaq nak makan ikan keli, jadi masak lemak ikan keli salai jadi menu melepaskan kelaparan untuk buka puasa nanti...

BAHAN-BAHAN :
Santan kotak 200 ml
5 ekor Ikan keli 
1 keping asam keping
2 biji tomato
Garam secukup rasa


Bahan tumbuk :
5 biji bawang kecil
2 ketul kunyit hidup
2 batang serai
Cili api dlm 12 biji


CARA MEMASAK :
- Gaulkan sebuk kunyit pada Ikan keli dan panggang dengan api. Kalau segan nak panggang guna api... guna shj pemanggang ajaib.
- Masukkan ikan dalam pamanggang ajaib dan panaskan atas api dapur gas (kuatkan api supaya cepat masak).
- Masukkan bahan tumbuk, Santan kotak ke dalam periuk dan panaskan api. Terus tambahkan air dan kacau bahan tersebut.
- Masukkan asam keping
- Masukkan ikan keli salai tadi, kacau hingga masak.
- Masukan garam secukup rasa
- Masukkan tomato

* Kuah santan mesti sentiasa dikacau agar kuah santan tak pecah.

Resepi Abah : Asam Pedas Melaka

Asam pedas melaka memang terkenal dan sungguh menyelerakan apabila menjamu selera.

BAHAN-BAHAN :
- 1 ekor ikan siakap - potong 5 @ 6 keping
- 1 sudu kecil pes asam jawa. *jangan terlalu banyak, takut terlebih masam.
- Garam
- Secubit Belacan
- 5 sudu cili kering kisar - boleh tambah
- 2 biji tomato
- 8 biji bendi
- 3 @ 4 tangkai daun kesom
- 2 batang serai

Bahan kisar :
- 8-9 ulas bawang merah
- 5 ulas bawang putih
- 2 inci halia
- 2 inci kunyit hidup
- 1 biji buah keras

CARA MEMASAK :
- Panaskan minyak dan tumis bahan kisar dan cili kering kisar sehingga wangi (wajibkan ia betul2 pecah minyak) dan cili benar-benar garing dan masak.
- Masukan belacan
- Masukan serai yang diketuk
- Masukkan air secukupnya.
- Bila kuah mendidih, masukkan ikan. 
- Masukkan garam dan air asam secukupnya. 
- Masukan bendi hingga masak. 
- Masukan tomato
- Masukan daun kesom
- Garam secukup rasa

KELAB BOLASEPAK KN KIARA (KN KIARA FOOTBALL CLUB)

Kelab Bolasepak KN Kiara (KN Kiara Football Club) telah didaftarkan sebagai sebuah Badan Sukan secara rasmi dibawah Pesuruhjaya Sukan Malaysia. Pendaftaran badan sukan ini dibuat secara Online di laman Web ROSA (Sistem Pendaftaran Maklumat Badan Sukan) https://rosa.kbs.gov.my.

Pendaftaran Kelab Bolasepak KN Kiara ini atas inisiatif dan hasil perbincangan bersama En Norman bin Hasan Ludin selaku pengerusi, bagi tujuan pembangunan bola sepak diperingkat akar umbi di Daerah Padang Terap khususnya. Bertindak sebagi Setiausaha Kelab, saya bertanggungjawab atas semua urusan pendaftaran Kelab Bolasepak KN Kiara, di mana permohonan pendaftaran secara online harus menyediakan pelbagai dokumen-dokumen berkaitan seperti Perlembagaan Kelab, Minit Menyuarat Penaja, Maklumat Jawatankuasa Penaja, surat-surat dan sebagainya.

Kelab Bolasepak KN Kiara diluluskan pada 12 FEBRUARI 2018, bernombor pendaftaran 9289/2018. Buat sementara Kelab Bolasepak KN Kiara ini berpengkalan di Sekolah Kebangsaan Padang Terap, Kedah.

Dengan tertubuhya Kelab Bolasepak KN Kiara ini, pihak kelab akan berusaha untuk membentuk pengurusan kelab yang terbaik bagi meralisasikan halatuju dalam misi kelab dalam mewujudkan satu ekosistem pembangunan bola sepak yang sistematik dan menyeluruh ke arah meningkatkan kuantiti dan kualiti pemain dalam memartabatkan sukan bola sepak di Daerah Padang Terap Khususnya. Pihak kelab akan berusaha mencari Dana dari semua pihak untuk menggerakkan persatuan dan mengadakan pelbagai aktiviti pembangunan bola sepak.


KELAB BOLASEPAK KN KIARA
(KN KIARA FOOTBALL CLUB)
No. Pendaftaran : 9289/2018
Alamat : Sekolah Kebangsaan Padang Terap, 
06300 Kuala Nerang, Kedah Darul Aman
Email : knkiarafc@gmail.com    Web : knkiarafc.blogspot.my
Telefon :
019-5944575 - Pengerusi
013-5336302 - Setiausaha

Resepi Abah : Sotong Sayur Campur

Bahan-bahan :-
2 biji bawang putih diketuk
1 batang carrot dihiris nipis-nipis
8 biji Kacang Buncis 
100 gram Bunga Kobis
100 gram Brocoli
1/2 sudu white pepper
1 sudu sos tiram
Sedikit garam
2/3 kiub ayam
2 sudu tepung jagung dibancuh dengan air.

CARA MEMASAK
- Panaskan 3 sudu makan minyak masak.. masukkan sotong & kacau hingga masak. 
- Masukan bawang putih
- Masukkan 2 sudu sos tiram supaya rasa sedap dan warna tak pucat.. 
- Masukkan air dan kiub ayam. 
- Masukan carrot, bunga kobis, brocoli, masak sehingga agak empuk.
- Masukan Tomato Kecil
- Masukkan 1/2 sudu white pepper berserta sedikit garam.. 
- Last sekali masukkan bancuhan tepung jagung.. korang boleh agak-agak kuah banyak mana.. fungsi tepung jagung untuk memekatkan kuah. 

Tun Mahathir dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ketujuh

Tarikh bersejarah Khamis 10 Mei, Tun Dr Mahathir Mohamad dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ketujuh selepas 15 tahun meninggalkan pentas politik. Tun M mencipta sejarah negara sebagai Perdana Menteri yang dilantik buat kali kedua mengikut sistem demokrasi dan Perlembagaan Malaysia. Malah, usia Tun M yang mencecah 93 tahun pada tahun ini menjadi perdana menteri tertua dalam sejarah Malaysia dan dunia.

Beliau sebelum ini dikenali ramai sebagai sebagai Perdana Menteri keempat Malaysia yang menjawat jawatan itu selama 22 tahun iaitu bermula tahun 1981 sehingga tahun 2003.

Tun Mahathir, lelaki yang mempunyai aura hebat ini dilahirkan pada 10 Julai 1925 di di Lorong Kilang Ais, Seberang Perak, Alor Setar, Kedah.

Kejayaan Tun M kembali memimpin negara juga bersejarah apabila beliau sendiri menjadi watak Utama dalam Pakatan Harapan berjaya menggantikan parti yang pernah beliau pimpin selama 22 tahun iaitu Barisan Nasional yang memerintah sejak mencapai kemerdekaan negara pada tahun 1957.

Pengerusi Pakatan Harapan itu mengetuai gabungan parti komponen terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Amanah, Warisan dan DAP membentuk kerajaan selepas menang majoriti 122 daripada 222 kerusi Parlimen yang dipertandingkan.

Sebagai rakyat Malaysia saya sangat berbangga mempunyai Tun M seorang pemimpin yang sangat hebat, menjadi Perdana Menteri Malaysia 2 kali dalam sejarah. Tetapi sebagai ahli UMNO akar umbi sangat sedih apabila Tun Mahathir bersama musuh politik nombor satunya suatu ketika dahulu ketika bersama UMNO iaitu Lim Kit Siang (DAP), berkerjasama dalam Pakatan Harapan dalam menumbangkan Kerajaan Barisan Nasional yag ditunjangi oleh parti UMNO pada PRU14 ini.

Semoga Tun Mahathir dapat memikul amanah yang dimandatkan dengan penuh tanggungjawab untuk menerajui negara Malaysia yang dicintai. Semoga Tun M diberikan kesihatan yang baik dan dipanjangkan umur.

PERUTUSAN KETUA PEMUDA UMNO MALAYSIA SEMPENA ULANGTAHUN UMNO YANG KE-72

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Dengan rasa penuh hiba dan tawaduk, saya ingin mengucapkan selamat menyambut ulang tahun yang ke-72 kepada seluruh ahli UMNO. Sudah pasti ini bukanlah keadaan yang saya bayangkan bagi menyambut ulang tahun parti keramat kita. Namun demikian, inilah ketentuan Allah SWT dan inilah pilihan rakyat.

Apa yang jelas ialah rakyat telah menolak Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum yang ‪ke 14‬. Buat kali pertama dalam sejarah negara, BN yang ditunjangi UMNO hilang kuasa di peringkat Kerajaan Persekutuan.

Walaupun UMNO telah mendapat 47 kerusi Parlimen dan 129 kerusi Dewan Undangan Negeri, dan seterusnya tetap mempunyai tanggungjawab di kawasan-kawasan yang kita menangi, keputusan ini adalah sangat-sangat mengecewakan. Saya faham, seluruh warga UMNO sedih dan ada yang marah akan keputusan PRU-14 ini. Saya sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia, meminta maaf kepada ahli UMNO, kerana sebagai seorang pemimpin parti, saya tidak dapat membantu parti kita mencapai kemenangan pada kali ini.

Sekarang bermulalah tugas yang sangat berat, iaitu tugas untuk membina semula parti keramat kita. Saya mahu kita kembalikan UMNO kepada semangat yang asal. Di mana UMNO tidak dilihat sebagai parti yang terpisah dari rakyat, parti untuk golongan atas sahaja, parti yang tidak kisah soal integriti, parti yang dianggap bongkak dan sombong. Saya mahu UMNO kembali menjadi parti untuk orang ramai. Parti yang jaga maruah orang Melayu, yang menjaga kemakmuran bersama kaum-kaum yang lain, parti yang tidak rasis – parti yang benar-benar berjuang untuk semua lapisan masyarakat.
Untuk kita kembali kepada UMNO yang asal ini, kita mesti melalui perubahan yang besar dalam parti. Kita mesti lakukan perubahan yang tidak pernah kita fikirkan. Yang kita perlukan hari ini ialah kejujuran yang mendalam, keberanian yang luar biasa dan pengorbanan yang pedih. 

Saya mengajak rakan-rakan yang ingin membina semula UMNO daripada keruntuhan yang kita lihat hari ini, untuk bersama-sama dengan saya kerana perubahan ini mesti bermula dengan serta-merta. Kita tidak boleh tangguhkannya lagi. Jasa UMNO kepada agama, bangsa dan negara terlalu besar untuk kita biar parti keramat ini musnah dan hilang selama-lamanya.

Patah sayap bertongkat paruh, namun menyerah tidak sekali. Mungkin hari ini, kita rasa sedih, kita rasa tidak berdaya, tiada sinar di hujung jalan. Tetapi kalau kita kembali ke pangkal perjuangan yang sebenar dan mendengar suara rakyat serta ahli biasa yang mahu UMNO berubah, dengan izin Allah SWT, suatu hari nanti, insyaAllah, Rajawali perjuangan akan terbang ke langit semula.

Khairy Jamaluddin
11 Mei, 2018

Olahraga SKPT Rangkul 9 Pingat di Kejohanan Olahraga MSSD Paang Terap 2018

Kontijen Olahraga SKPT telah mendapat tempat Ketiga Keseluruhan di Kejohanan Olahraga MSSD Padang Terap 2018 pada 11-13 Mac 2018 bertempat di Stadium Darul Aman. Kontijen Olahraga SKPT berjaya Merangkul 3 Pingat Emas, 5 Perak & 1 Gangsa.
Tahniah kepada Atlit-atlit SKPT yang bersungguh-sungguh mengerah keringat demi mengharumkan nama sekolah. Tahniah dan terima kasih kepada Guru-guru Olahraga dan Semua Guru serta Para Waris atas kejayaan pada tahun ini. 

Kejayaan membawa pulang 9 pingat ini adalah antara pencapaian terbaik dalam sukan olahraga SKPT, walaupun impian Kontijen SKPT untuk muncul Johan Keseluruhan dinafikan di saat-saat akhir.

SKPT The Challenger....SKPT Boleh!!

PROGRAM TRANFORMASI SEKOLAH 2015 (TS25)

Tahun 2018 Sekolah Kebangsaan Padang Terap telah terpilih sebagai sekolah tranformasi. Program Transformasi Sekolah 2025 (TS25) merupakan sebahagian daripada usaha Kementerian Pendidikan Malaysia ke arah meningkatkan kemenjadian murid dan sekolah berkualiti.
Melalui TS25 adalah diharapkan sekolah yang terlibat berupaya mengaplikasikan amalan terbaik dalam pelaksanaan pengurusan dan kepimpinan serta pedagogi dalam pembelajaran dan pengajaran (PdP) selari dengan hasrat yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013  2025.


Panduan pengisian Pentaksiran Aktiviti Jasmani Sukan dan Kokurikulum (PAJSK).

PAJSK (Pentaksiran Aktiviti Jasmani Sukan & Kokurikulum) menjadi sebutan hangat di bidang pendidikan. Beberapa isu-isu timbul terutama melibatkan murid tahun 6 disekolah rendah yang ingin menyambung pembelajaran di SBP (Sekolah berasrama penuh). Menjadi isu dimana ada murid yang mendapat pencapaian 6A tidak mendapat tawaran di SBP tetapi ada murid pencapaian 2A dalam UPSR diterima ke SBP. Ianya menjadi persolan utama, apakah aspek-aspek pemilihan untuk ke SBP? Salah satu aspek yang diperkatan melalui sembang-sembang guru adalah Markah PAJSK. Aspek kefahaman dikalangan guru tentang pengisian PAJSK ini amat kurang dan pihak berwajib perlu turun ke sekolah untuk memberi taklimat dan kefahaman tentang PAJSK kepada guru-guru sekolah terutamanya guru-guru yang terlibat dalam pengisian PAJSK.
PAJSK adalah Pentaksiran Aktiviti Jasmani Sukan & Kokurikulum. Pentaksiran ini melibatkan pelaporan dan aktiviti atau penglibatan murid. Segak & BMI contohnya hanya melibatkan guru melaksanakan ujian di sekolah. Manakala kokurikulum dibahagikan kepada sukan permainanan, kelab persatuan, dan badan uniform. Kokurikulum pula lebih kepada aktiviti kokurikulum murid pada waktu kokurikulum di sekolah.

Ekstra kurikulum pula sedikit berbeza, ianya seperti sahsiah murid dalam penglibatan aktiviti kemasyarakatan atau kerja sukarela. Mari kita lihat gambar dibawah untuk lebih memahaminya.

Komponen PAJSK yang paling utama dapat dibahagikan kepada 3 komponen. Secara asasnya PAJSK ini terbahagi kepada komponen SEGAK & BMI, Kokurikulum dan terakhir sekali ialah Ekstra Kurikulum.

3 Komponen PAJSK KPM
1) SEGAK dan BMI (Body Mass Index)
2) KOKURIKULUM
   - Sukan/Permainan
   - Kelab/Persatuan
   - Badan Beruniform
3) EKSTRA KURIKULUM


1) SEGAK dan BMI (Body Mass Index)
Ujian SEGAK dijalankan 2 kali setahun, kali pertama sekitar bulan Mac & kali kali kedua sekitar bulan Ogos (bergantung kepada surat arahan). Perlaksanaa SEGAK di bawah Penolong Kanan Kurikulum dan dilaksanakan oleh guru-guru pendidikan jasmani tahap 2 sekolah rendah.
Pengisian Markah ujian segak dalam Sistem PAJSK adalah tangungjawab Guru Pendidikan Jasmani, mengikut kelas-kelas yang diajar.
Borang SEGAK

2) KOKURIKULUM (Sukan Permainan / Kelab persatuan / Badan Beruniform)
Dalam Komponen Kokurikulum terdapat 6 Elemen yang memberi markah sebanyak 110 markah.
a) Jawatan (10 Markah)
b) Penglibatan (20 Markah)
c) Pencapaian (20 Markah)
d) Komitmen (10 Markah)
e) Khidmat Sumbangan (10 Markah)
f) Kehadiran (40 markah)

A) Jawatan (10 markah)
Tempoh memegang jawatan yang layak diberi markah sekurang-kurangnya selama 9 bulan. Jawatan ini yang disandang oleh murid dalam kokurikulum dalam Sukan Permainan dan Kelab Persatuan. manakala bagi Badang Beruniform bergantung kepada nama jawatan @ pangkat Badan Beruniform masing-masing.

B) Penglibatan (20 markah)
Aspek penglibatan ini juga menjadi persolan dikalangan guru-guru, di mana penglibatan murid ini dikira berdasarkan atas nama Sukan permainan / kelab persatuan sahaja atau berdasarkan apa-apa jenis sukan dan aktiviti koku yang diceburi oleh murid tersebut?. Menurut taklimat yang diberikan oleh pihak PPD/JPN, murid layak diberi markah dalam apa jua jenis sukan / aktiviti koku yang diceburi semasa di sekolah. 
Contoh 1 (Sukan Permainan) : Ahmad adalah  ahli Kelab Badminton dan tidak pernak mewakili sekolah dalam Permainan Badminton, tetapi Ahmad mewakili sekolah dan daerah dalam permainan Bola Sepak. Penglibatan Ahmad dalam Bola Sepak ini perlu diisi dalam PAJSK aspek Sukan Permainan meskipun ahmad adalah Ahli Kelab Badminton.
Contoh 2 (Kelab Persatuan) : Fatimah adalah Ahli Persatuan Bahasa Melayu dan tidak pernah mewakili sekolah dalam program Bahasa Melayu di mana-mana peringkat, tetapi Fatimah telah mewakili Sekolah & Daerah dalam pertandingan nasyid di peringkat daerah dan Negeri. Penglibatan Fatimah dalam pertandingan nasyid ini perlu diisi dalam PAJSK aspek Kelab Persatuan meskipun FAtimah adalah Ahli Kelab Bahasa Melayu. 

c) Pencapaian (20 markah)
Pencapaian yang ditaksir hanyalah pada kedudukan JohanNaib Johan dan Ketiga. Walaubagaimanapun tempat Keempat dan Kelima diberikan dalam acara individu diperingkat sekolah.
Seperti aspek Penglibatanaspek pencapaian juga perlu diisi meskipun pencapaian murid tersebut tiada kaitan dengan keahlian Sukan Permainan / kelab persatuan yang diceburinya

d) Komitmen (10 markah)
Komitmen murid semasa perlaksanaan aktiviti kokurikulum perlu dinilai. Guru perlu mengisi maksima 4 elemen komitmen bagi setiap murid.
e) Khidmat Sumbangan (10 markah)
Menurut pengalaman sendiri mengisi PAJSK selama 2 tahun, berdasarkan skor elemen tersebut semua murid didaftarkan menyertai program / pertandingan / karnival / kursus / kursus layak untuk mendapat skor 10 markah.
Contohnya : Semua murid yang terlibat dalam Kejohanan Merentas Desa peringkat Sekolah @ Program Sukan Negara peringkat sekolah @ kursus kepimpinan, maka murid ini layak diberi skor 10 markah.

f) Kehadiran (40 Markah)
Elemen Kehadiran murid dalam aktiviti kokurikulum menyumbang skor markah tertinggi 40. Sekirannya kehadiran murid tersebut sebanyak 12 kali dari 14 perjumpaan koku, maka murid tersebut layak untuk mendapat skor markah penuh iaitu 40 markah.

3) ESKTRA KOKURIKULUM (10 markah)
Dalam elemen Ekstra Kokurikulum 4 aspek diambil kira iaitu Perkhidmatan, Anugerah Khas, Khidmat Masyarakat dan Program Nilam yang menyumbang 10 markah kepada murid. 
Perkhidmatan sebagi Ketua Murid dan sebagainya serta Anugerah khas seperti Anugerah sukan dan kokurikulum seperti Olahragawan sekolah dan lain-lain anugerah layak untuk diberi markah.


Borang Rumusan Badan Beruniform

 Borang Rumusan Kelab Persatuan
Borang Rumusan Sukan Permainan

Penerangan berkaitan PAJSK di atas adalah berdasarkan taklimat oleh Pihak PPD dan pengalaman sendiri memantau & mengisi sendiri dalam Sistem PAJSK, serta rujukan daripada internet. Saya mohon maaf sekiranya penerangan ringkas PAJSK ini terdapat kesalahan dan kesilapan. Semoga dapat membantu para guru untuk mengisi PAJSK murid pada hujung tahun nanti.

Sekian

MOHAMED FAISAL BIN HAJI ABDULLAH
Sekolah Kebangsaan Padang Terap, Kedah
www.skptkoku.blogspot.my, www.faisal59.blogspot.my