Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh
Dengan rasa penuh hiba dan tawaduk, saya ingin mengucapkan selamat menyambut ulang tahun yang ke-72 kepada seluruh ahli UMNO. Sudah pasti ini bukanlah keadaan yang saya bayangkan bagi menyambut ulang tahun parti keramat kita. Namun demikian, inilah ketentuan Allah SWT dan inilah pilihan rakyat.
Apa yang jelas ialah rakyat telah menolak Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum yang ke 14. Buat kali pertama dalam sejarah negara, BN yang ditunjangi UMNO hilang kuasa di peringkat Kerajaan Persekutuan.
Walaupun UMNO telah mendapat 47 kerusi Parlimen dan 129 kerusi Dewan Undangan Negeri, dan seterusnya tetap mempunyai tanggungjawab di kawasan-kawasan yang kita menangi, keputusan ini adalah sangat-sangat mengecewakan. Saya faham, seluruh warga UMNO sedih dan ada yang marah akan keputusan PRU-14 ini. Saya sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia, meminta maaf kepada ahli UMNO, kerana sebagai seorang pemimpin parti, saya tidak dapat membantu parti kita mencapai kemenangan pada kali ini.
Sekarang bermulalah tugas yang sangat berat, iaitu tugas untuk membina semula parti keramat kita. Saya mahu kita kembalikan UMNO kepada semangat yang asal. Di mana UMNO tidak dilihat sebagai parti yang terpisah dari rakyat, parti untuk golongan atas sahaja, parti yang tidak kisah soal integriti, parti yang dianggap bongkak dan sombong. Saya mahu UMNO kembali menjadi parti untuk orang ramai. Parti yang jaga maruah orang Melayu, yang menjaga kemakmuran bersama kaum-kaum yang lain, parti yang tidak rasis – parti yang benar-benar berjuang untuk semua lapisan masyarakat.
Untuk kita kembali kepada UMNO yang asal ini, kita mesti melalui perubahan yang besar dalam parti. Kita mesti lakukan perubahan yang tidak pernah kita fikirkan. Yang kita perlukan hari ini ialah kejujuran yang mendalam, keberanian yang luar biasa dan pengorbanan yang pedih.
Saya mengajak rakan-rakan yang ingin membina semula UMNO daripada keruntuhan yang kita lihat hari ini, untuk bersama-sama dengan saya kerana perubahan ini mesti bermula dengan serta-merta. Kita tidak boleh tangguhkannya lagi. Jasa UMNO kepada agama, bangsa dan negara terlalu besar untuk kita biar parti keramat ini musnah dan hilang selama-lamanya.
Patah sayap bertongkat paruh, namun menyerah tidak sekali. Mungkin hari ini, kita rasa sedih, kita rasa tidak berdaya, tiada sinar di hujung jalan. Tetapi kalau kita kembali ke pangkal perjuangan yang sebenar dan mendengar suara rakyat serta ahli biasa yang mahu UMNO berubah, dengan izin Allah SWT, suatu hari nanti, insyaAllah, Rajawali perjuangan akan terbang ke langit semula.
Khairy Jamaluddin
11 Mei, 2018
0 comments:
Post a Comment