Hari ini ku bangun dari tidur dan terfikir sejenak bahawa aku adalah seorang rakyat Malaysia yang berada di bumi tempat tumpahnya darahku. Amat bersyukur sekali kepada Allah swt kerana aku adalah insan bertuah yang berada disebuah negara aman dan makmur. Sebagai seorang rakyat malaysia kita harus bersyukur dengan nikmat yang Allah swt berikan kepada kita kerana dilahirkan dibumi yang aman makmur yang mempunyai kemudahan pembangunan yang amat selesa untuk kita nikmati. Kita juga harus bersyukur kerana Allah swt telah menganugerahkan dan mengizinkan pemimpim-pemimpin terbaik bagi memerintah negara Malaysia yang kita cintai ini sehingga mencapai satu tahap yang amat membanggakan berbanding dengan negara merdeka lain.
Tema sambutan Hari Kemerdekaan negara ke-56 yang bakal disambut pada 31 Ogos ini amat menarik sekali kerana sejak kebelakangan ini rakyat amat begitu resah gelisah dengan kemelut yang melanda negara akibat terhakisnya perasaan hormat menghormati antara sesama sendiri.
Malaysiaku Berdaulat : Tanah Tumpahnya Darahku kena pada masanya sebagai memberi peringatan dan iktibar bahawa tiada siapa yang akan mempertahankan maruah negara kecuali rakyat Malaysia sendiri. Jika diteliti tema tersebut ia membawa maksud untuk menyemai sifat perpaduan yang berpaksikan kepada ungkapan patriotik dan kesatuan negara bangsa. Malaysiaku Berdaulat juga membawa maksud bahawa Malaysia adalah sebuah Negara Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan. Negara kita Malaysia adalah sebuah Negara Islam yang mempunyai masyarakat yang berbilang kaum serta mempunyai Sistem Institusi Diraja Berperlembagaan. Setiap warganegara Malaysia semestinya menghormati undang-undang dan perlembagaan Negara yang kita cintai ini demi kesinambungan keamanan dan kesejahteraan untuk generasi mendatang.
Jika di imbas sambutan kemerdekaan tahun peristiwa di mana sambutan Hari Kemerdekaan dicemari oleh kerana perbezaan ideologi politik seperti yang telah menimpa pada tahun lepas. Terdapat segelintir kelompok masyarakat yang tidak mahu turut serta merayakan sambutan kemerdekaan kerana tidak sehaluan fahaman politik dan fenomena keengganan menyambut kemerdekaan kali ke-55 tahun lepas sudah mencapai tahap merunsingkan. Mempertikaikan logo, tema dan lagu kemerdekaan walaupun dianggap satu isu remeh dan agak lucu, tetapi hakikatnya adalah satu usaha untuk memperkecilkan dan seterusnya merosakkan sambutan kemerdekaan yang telah disusun pada ketika itu.
Mengambil pendekatan untuk tidak mahu turut serta dalam acara sambutan kemerdekaan akan hanya memberi modal politik yang cetek dalam jangka masa pendek. Tetapi apa yang lebih membimbangkan lagi adalah ia bakal memberi kesan kepada aspirasi negara Malaysia yang berdaulat dan merdeka.
Tanah Tumpahnya Darahku membawa maksud yang begitu dalam dan penuh bermakna. Sebab itu tema sambutan kali ini boleh dirangkumi kepada elemen-elemen perpaduan, patriotik, kedaulatan dan keselamatan negara yang amat begitu kritikal untuk dimiliki oleh setiap rakyat Malaysia.
Pada hari yang mulia ini ada baiknya rakyat Malaysia tidak kira anutan agama, bangsa atau fahaman ideologi politik menilai kembali tahap patriotisme dalam diri kita atau dengan lebih mudah di mana letaknya jati diri kita sebagai warganegara Malaysia.
Ketika kemuncaknya peristiwa pencerobohan pengganas di Lahad Datu, Sabah baru-baru ini, majoriti rakyat telah mempamerkan semangat patriotik dan jati diri yang agak tinggi dengan memberi sokongan padu kepada anggota polis dan tentera yang dikatakan bersabung nyawa berhadapan dengan pengganas. Jika sebelum ini mungkin ada segelintir yang sangsi dengan kekentalan jiwa rakyat Malaysia apabila berhadapan dengan isu yang berkait rapat dengan kemerdekaan dan kedaulatan negara, sudah pasti akan membuat tafsiran bahawa jika berdepan dengan ancaman, rakyat Malaysia akan bersatu teguh di belakang pemerintah.
Tidak dapat dihindari bahawa terdapat rakyat Malaysia yang merasa begitu selesa dengan keadaan aman pada masa sekarang sehingga langsung alpa dengan patriotisme mereka. Mungkin ada yang merasakan apa perlu menunjukkan semangat patriotik pada Bulan Kemerdekaan kerana negara bukannya berada di rantau yang penuh dengan ancaman. Lagi pun, ada yang berpendapat Hari Kemerdekaan sudah menjadi perkara lazim kerana disambut pada setiap tahun.
Malaysia negara yang kucintai
Selamat Menyambut Ulangtahun Kemerdekaan Malaysia ke 56
MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!
0 comments:
Post a Comment