Lagu Puisi Kekasih - Ahmad Ramli

Dah lama tak jengok blog, dah berhabuk & bersawang ... jom layan sat lagu puisi ni..
Lagu Puisi Kekasih iaitu puisi Usman Awang ini nyanyian Ahmad Ramli sememangnya amat syahdu. Bahasa puisi yang digunakan sangat indah dan punyai maksud yang amat mendalam.
Masih teringat lagi, lagu ini pernah beliau dendangkan di Dewan Maktab Perguruan Tuanku Bainun sewaktu menuntut di maktab tersebut sekitar tahun 1996.



Kekasih ~ Usman Awang

Akan kupintal buih-buih
menjadi tali
mengikatmu
akan kuanyam gelombang-gelombang
menjadi hamparan
ranjang tidurmu

akan kutenun awan-gemawan
menjadi selendang
menudungi rambutmu

akan kujahit bayu gunung
menjadi baju
pakaian malammu

akan kupetik bintang timur
menjadi kerongsang
menyinari dadamu

akan kujolok bulan gerhana
menjadi lampu
menyuluhi rindu

akan kurebahkan matari
menjadi laut malammu
menghirup sakar madumu

Kekasih, hitunglah mimpi
yang membunuh realiti
dengan syurga ilusi.

~Usman Awang 1971